Balada Seorang Singular

Kamu tahu bahawa tidak mudah menjadi seorang singular dalam tata norma sebuah masyarakat yang kental dengan nilai dan cakna orang…

Ya, masih menjadi singular memerlukan banyak kekuatan khususnya mental dan pandang dunia (world view)… Saya sering berdepan dengan banyak pertanyaan, persoalan malah usikan yang berkisar tentang singular… Kamu tahu bahawasanya saya tidak pernah menyesal apa lagi ralat dengan diri saya walau secara berterusan ia akan sentiasa muncul sama ada dalam lisan atau pun teks. Saya selalu ingin memohon maaf kepada banyak orang mengenai kekurangan saya yang satu ini kerana tidak mengikuti fasa wajib dalam kitaran hidup seorang manusia biasa… Saya juga tidak ada satu jawapan konkrit bila ditanya mengapa masih sendiri, kenapa itu dan ini kerana persoalan ini terlalu personal dan tidak mampu saya huraikan dengan bait kata… Apa yang saya harapkan hanyalah sedikit kefahaman dan penerimaan khalayak tanpa perlu penghakiman dan interpretasi dibalik hal ini… Tiada siapa di dunia ini yang ingin dilihat devian dan berbeza dari kebiasaan tetapi ketentuan Tuhan sudah pastinya tidak akan sama dan berbagai-bagai… Ujian kita selalu berbeza mengikut skala kemampuan yang telah Tuhan tetapkan tanpa perlu kita ralat dan mengalah. Berlapang dada akan menjadi satu terapi menghadapi kerana selagi ini ada, pertanyaan akan tetap ada… Alhamdulillah Allah berikan saya kelebihan iaitu kekuatan mental untuk saya beradaptasi dan menghadapi sekeliling tanpa rasa lelah, apa lagi jauh sekali untuk menjarak diri atau berjauh hati… Bagaimana saya meneruskan hidup dan bagaimana saya menguruskan diri waima soal urusan perasaan, nafsu nafsi tidaklah perlu diperhalusi kerana saya tahu dan kenal diri lebih daripada kamu yang lain mengerti… Ya. Tidak mudah untuk membawa diri sebagai seorang singularis ini sementara menanti dijemput Ilahi satu hari nanti… Nasib diri pada depan hari tidak perlu digusari kerana pasti sudah ada aturan Ilahi untuk setiap diri manusiawi… Kalau saya tidak khuatir dengan takdir diri di kemudian hari apa lagi yang kamu semua harus bimbangi…

Advertisement