Garu-garu Kanggaru, Coca-coca Koala…
Australia… tengok peta sudah begitu gah. Besar dan gagah nampaknya, luas saujana negerinya malah memang rupanya seindah khabar merentas beberapa laut dunia.
Abang Om sekadar merangkum buat tanda satu ingatan, tentang epilog di bumi kanggaru itu. Ada yang terbuku jitu dan ada juga momen yang menggaru tetapi tiada pilu malah gantinya bergalang rindu. Itu baru Perth, kota OZ di sebelah barat. Kata orang, Perth bukanlah bandar yang mewajahkan rupa sebenar Australia tetapi bagi Abang Om ia tetap megah dalam auranya tersendiri.
Abang Om rangkumkan kisah sendiri dengan penangan sendiri di bumi Aussie ini. Lain orang lain momen dan pengalamannya, yang penting happy tidak terperi.
Visa OZ
Mohon untuk maklum untuk masuk OZ visa diperlukan dan ia boleh dimohon secara online. Boleh print dan simpan dalam pasport sebagai back up bukti. Semasa check in sila semak sama ada visa telah dimasukkan dalam maklumat pasport atau tidak. Jika naik flight transit sila pastikan hal ini ok supaya tiada masalah.
Bayaran Visa online = RM25 sahaja
OZ yang ketat…
Sebelum datang pun sudah kedengaran OZ ni strict undang-undangnya. Macam-macam perlu dipatuhi dan ia dikuatkuasakan dengan ketat jadi tiada “coba-coba” nasib harus berlaku. Sebenarnya memang ketat pun imigresen dan kastam mereka. Walaubagaimanapun, apa yang penting ialah pengisytiharan dan kita tandakan apa saja yang kita bawa di borang kemasukan nanti … maklumkan saja apa yang kita ada dalam bagasi termasuk ubatan peribadi, suplemen, makanan malah ubat tradisional seperti pil chi kit teck aun. Kejujuran kita akan memudahkan urusan kita di pintu masuk Aussie. Bila ditanya jawablah dengan jujur dan lancar. Jika kita gagal mengisytihar dan ia dikesan pula oleh mereka maka ia akan lebih menyulitkan keadaan malah memang ada penaltinya juga. Penalti ini perlu dijelaskan dalam AUD ye. Nanti tak pasal-pasal duit kita habis untuk bayar penalti saja atau jika teruk sangat mungkin boleh diusir pulang. Mau?
Kemana mahu pergi?
Sebenarnya banyak tempat untuk dilawati di Perth ini terserah kepada minat, kehendak dan masa peribadi yang ada. OZ Perth ada pelbagai tawaran sama ada di bandar atau luar kawasan bandar. Cari dan gelintarlah sendiri untuk maklumat tuntas dan menyeluruh. Abang Om ni, datang sini hari full 4 hari saja. Maka, dengan masa yang terhad ini sempatlah intai-intai singgah di Elizabeth Quay, Kings Park, Fremantle, Pinnacle, Lancerin Sand Dune, Caversham Wildpark selain pusat bandar modennya yang bersih dan tenang. Untuk sightseeing di bandar, sebenarnya lebih senang menaiki bas percuma jika kita berada dalam zon biru dan hijau. Orang Perth pun mesra dan membantu termasuk pemandu bas. Hum… jika di luar zon tersebut pula, sedikit bayaran dikenakan bergantung kepada jarak dan lokasinya. Kings Park dan Botanical Garden contohnya hanya beberapa km saja dari bandar manakala :
Fremantle – 17 km dari bandar
Pinnacle (Nambung National Park) dan Lancerin – 200 km
Caversham – 30km
Dan, dalam list nya banyak lagi sebenarnya yang boleh dilawat jengah yang Abang Om sendiri tak sempat kerana faktor masa, antaranya adalah seperti :
Rockingham Penguin Island/ Sea Lion
Yanchep National Park
Crawley Edge Boatshed
Harbour Town – beli-beli macam JPO
Moore River Sanctuary – pertemuan muara sungai dan laut.
Mandurah (untuk tengok dolphin) – 67km
Swan Valley – menyusur tasik dan jogging
Albany – 500km dari Perth
nota – 8 hari baru sempat pergi semua.
Penginapan :
Bab menginap ini sangat fleksibel. Ia tertakluk kepada pilihan sendiri, bajet dan kehendak. Terlalu banyak pilihan jenis penginapan sama ada hotel, apartment (boleh masak), resort backpackers dan lain-lain yang boleh disewa dengan kos serendah RM200 sehari. Abang Om berdiam di Billabong Backpackers Resort saja dengan kos RM800 untuk 4 malam. Oklah, ada breakfast, boleh masak di dapur umum dan overall ‘boleh sangatlah’ orang kata.
Pengangkutan :
Sebelum datang, kita semaklah dulu keperluan pengangkutan macamana yang kita ingin. Pengangkutan awam seperti bas di Perth boleh dikira cekap dan facilitate semua jenis orang sama ada lokal atau pelawat. Kereta pula boleh disewa bermula dari airport lagi. Bas bolehlah naik kerana okay, bergantung kepada lokasi kita. Untuk sewa kereta (ikut jenis), Abang Om sewa kereta Hyundai 130 saja, dalam 4 hari dengan kos RM350 (AUD100++). Maknanya tak sampai RM90 sehari.
Petrol pula, dengarnya ada yang murah dan ada yang mahal sikit, berbeza mengikut tempat. Ini bolehlah survey info di internet. Abang Om hari tu bubuh caltex saja dan setangki penuh kereta Hyundai 130 implikasi kewangannya adalah AUD50..
nota : boleh tempah kereta online siap-siap sebelum sampai OZ. Abang Om pilih syarikat Hertz. Pengurusan kereta sewa mereka sangat cekap siap ada bay khusus dan kaunter untuk tinggalkan kereta disewa di Terminal 1 Airport Perth bila sudah selesai tempoh sewanya atau boleh drop kunci dalam box jika kita tiba pada waktu melepasi tempoh operasi pejabat mereka.
Mata Wang : Ramai yang sudah maklum, kadar tukaran wang RM ke AUD agak tinggi. AUD10 = RM36 dan bolehlah kita agak berapa banyak wang yang kita perlu tukar untuk kegunaan/transaksi di sana.
Talian Telefon/Telco :
Dah namapun zaman telekomunikasi termaju maka hal ini juga satu keperluan semua orang; untuk kemudahan juga kan. Baiklah, sekadar sedikit maklumat, jika kita sudah roaming siap-siap (sila ke pusat telco) sebelum berlepas untuk daftar roaming ini. Bagi pengguna Celcom, rakan telco Celcom di Perth ini ialah Telstra dan Vodafone. Jadi, boleh pilih salah satu operator ini jika ingin menggunakan data roaming dengan caj RM38 sehari. Jika tidak, atas nasihat mereka yang pernah ke sini, bolehlah kita tukar kepada simkad lokal jenama Optus dengan harga AUD10 untuk pek baru prepaid yang cukup untuk 5 hari termasuk cukup untuk menggerakkan waze. Simkad ini bolehlah dibuat di airport sekiranya kita sampai sebelum waktu tengah malam. Jika tiba lewat, untuk malam pertama gunalah dulu data roaming dan esok bolehlah ke centre mereka di pusat bandar (mudah cari) untuk daftar talian. (jangan lupa bawa pasport, kot-kot tertinggal kat bilik atau kereta). Ingat ye, bab ni perlu diambil perhatian juga kerana kita perlukan data untuk menggunakan waze or google maps sebagai jurupandu pergerakan ke hotel dari airport atau kemana-mana arah tujuan yang lain.
Makanan :
Sebenarnya sangat membantu jika kita membawa sedikit bekalan berupa roti, biskut, mee segera atau lain-lain (sila declare) sebagai alas lapar dan kudap-kudap sebelum kita ‘melarut’ dalam kecur selera makanan lokal. Lagipun ia boleh mengurangkan kos makanan kita juga kerana faktor mahal. Mahal tu pun sebab kita convert ke RM, jadi janganlah terlalu berkira kerana inilah masanya kita nak makan dalam “fefeeling” pelancong. Makan sahaja ye. Antara “must eat” di Perth ini ialah hidangan fish n chip yang super sedap contohnya di sekitar Fremantle. Selain itu, jika kita pembutuh nasi, kedai makan melayu dan indonesia pun ada. Antaranya Insan Cafe, D’Ankasa dan beberapa lagi. Untuk variety, kita juga boleh mencuba kebab Turki jenama Ispa di area bandar dan nasi briyani yang terlalu enak di area Dianella manakala jika masuk Watertown Outlet terdapat satu kiosk makanan Turki yang halal. Cuba, makan dan jangan tak makan…
Solat :
Kita beruntung zaman kini kita ada banyak kemudahan untuk memudahkan urusan agama kita. Sekarang ada aplikasi kiblat dan penentu waktu solat walau dimana kita berada. Jadi, tiada alasan untuk kita mungkiri komitmen agama kita ini. Nak bersolat pun kita boleh ikhtiarkan tempat yang sesuai. By the way, jikalau kebetulan makan di Insan Cafe (tutup 9 malam), terdapat satu tempat solat dalam satu premis milik orang Turki selang beberapa pintu dari cafe tersebut. (boleh tanya mereka di cafe tersebut). Masjid Perth pula dalam bandar, boleh ikhtiar search dan mudah pula jumpa. Waktu-waktu lain pula bolehlah kita bersolat dimana-mana hamparan bumi Allah yang maha luas ini ye. Jangan tak solat pula, jauh-jauh kita datang dengan izin Allah maka dalam apa jua keadaan, tanggung jawab kepada Allah jangan sesekali dilupa dan diambil mudah.
Harga-harga Tiket : Kadar harga tiket untuk tempat yang Abang Om sempat pergi ialah seperti berikut :
Caversham Wildlife Park – AUD28/orang
Pinnacles – AUD12 untuk satu kenderaan
Lancerin – AUD10 untuk main luncur pasir
Souvenir dan Beli–beli : Bab membeli ni boleh dikatakan ‘keperluan’ semua orang. Maka dengan peruntukan yang ada mengikut kemampuan bolehlah kita membeli apa yang patut. Untuk membeli souvenir, Abang Om memang syorkan ia dibeli di Fremantle kerana lebih murah dan banyak pilihan. Jika nak beli lagi dan survey–survey, terdapat juga kedai-kedai di pusat bandar, Watertown Outlet dan Harbour Town. Beli, jangan tak beli. Lebih baik menyesal beli daripada menyesal tak beli kan!
Parking :
Orang OZ ada kata parking di bandar agak susah dan mahal. 1 jam letak kereta sudah dikenakan caj AUD4. Ruang parking di city centre ini memang betul susah kecuali dalam kawasan mall. Jika “terjerumus” memandu maka bolehlah survey tengok logo 🅿 yang ada. Satu perkara yang Abang Om suka bab parking di sini ialah kemudahan yang mesra pengguna. Mesin bayar parking ini disiapkan dengan terminal bayaran menggunakan kad kredit yang benar-benar menjadi superb solusi dalam keadaan kita tiada syiling dipoket. Mudah bukan! Walla…
Toilet :
Toilet sini boleh masuk report okay dan memuaskan. Seperti kebanyakan negara non muslim, maka Muslim yang biasa dengan toilet konvensional yang ada paip akan rasa sedikit kekok. Justeru, mohonlah kita cepat beradaptasi supaya lancar urusan ketandasan kita di sini. Untuk kemudahan, sediakanlah botol mineral atau tisu basah jika kita ke sudut hajat tersebut. Kita Muslim harus pandai-pandai menyesuaikan diri walau dimana jua kita berada.
Cadangan pergerakan : Sekadar advisori biasa, Abang Om cadangkan pergilah melawat ke tempat yang jauh terlebih dahulu. Tempat-tempat seperti The Pinnacles contohnya, mungkin lebih selesa dan tenang dimudiki pada hari bukan weekend kerana perjalanannya lancar dan kurang kenderaan di jalan raya.
Insurans :
Sementelah kita berjalan jauh dan sebagai langkah bersedia, Abang Om rasa sangatlah elok juga jika kita mengambil travel insurance; ya lah mana tahu kita ditimpa musibah atau sakit kan. Moga-moga kita selamat dan dijauhi daripada perkara tersebut ye.
Doa dan Harapan :
Doa itu senjata terampuh bagi orang Islam. Makanya, berdoalah selalu memohon kesihatan dan kebaikan sepanjang kita ditempat orang dengan harapan semoga kita dilindungi oleh Allah. Jangan dilupa, bawalah ubatan, suplemen dan keperluan kesihatan peribadi kerana mungkin susah untuk kira cari ubat yang kita serasi ditempat orang malah jika adapun mungkin harganya lebih tinggi. Dan, jagakan juga soal makan pada waktu sebelum dan semasa travel agar kita tahu tahap kecergasan kita terkawal dan tidak terjejas. Insya Allah, usaha sudah, yang lain berserahlah kepada Allah Yang Esa.
Nota : Berjalanlah mengikut keselesaan kita agar kita merasa nikmat dalam perjalanan kembaraan kita. Tidak perlu terkejar-kejar kerana ia menyebabkan kita penat dan terjejas keseronokan. Kita perlu ingat, dalam kita berjalan ini tidak semua tempat mampu kita sampai bergantung pada masa yang ada. Pengalaman kita pasti berbeza dengan orang lain, mungkin orang lain sempat ke satu-satu tempat, dan kita tidak. Tidak mengapa, kerana kita tak mampu mendapat semua yang kita hasratkan tetapi jika berjaya ia adalah satu kepuasan dan bonus. Senyum dan nikmatilah seadanya. Insya Allah kita pasti lega dan puas.
Abg Om AKF Perth, OZ 4 – 9 Ogos 2017
*****************************************
































