Kembara Di Tanah Gersang I

Duhai Cairo….. Wahai Kaherah…..

Assalamualaikum Mesir, Hello Egypt.

Jika dulu asyik mendengar sahaja orang bercerita pasal Mesir sama ada didalam buku sejarah, catatan perjalanan mahupun dikaca televisyen. Alhamdulillah, dengan niat yang baik Allah kabulkan hasrat Abang Om untuk datang ke sini. Tanggal 23 dalam bulan Januari 2017 hingga 31 bulan yang sama (insya Allah) Abang Om akan bertapak menjejak keistimewaan salah satu bumi anbiya’ ini.

Januari 23, 2017 – Amman

Hari ini Abang Om berlepas ke Cairo bersama seorang sahabat, Wan Rahim namanya. Untuk ke sini banyak pilihan pesawat boleh dibuat dan Abang Om memilih Royal Jordanian, pesawat nasional negara Jordan. Tiket ini ditempah dengan FELCRA Travel, silakanlah mencuba perkhidmatan mereka ye. Waktu berlepas ialah pada jam 10.20 malam menerusi laluan KUL-BKK-AMM-CAI. Maknanya kapal RJ ini akan transit seketika di Bangkok Thailand mengambil penumpang sebelum mendarat di Amman, ibukota Jordan dan menyambung penerbangan ke Cairo pada keesokan harinya.

Boarding Pass….. KUL-BKK-AMM-CAI
RJ – Royal Jordanian

Seusai urusan daftar masuk, Abang Om lilau-lilau dulu sekitar KLIA dan makan-makan dengan sahabat yang menemani dan menghantari. Habis makan Nasi Goreng USA yang sedap itu di Food Garden, kami terus ke balai pelepasan, selesaikan imigresen dan terus masuk ke pintu keberangkatan C1 di bangunan satelit.

Bersantap dulu di Food Garden KLIA sebelum naik pesawat
Di Balai Pelepasan
Doakan kami selamat pergi dan kembali ye…..
Abang pergi sebentar cuma…..

Januari 24, 2017 – Amman/Cairo

Lapangan Terbang Queen Alia Amman

Jam waktu tempatan di Amman Jordan menunjukkan 4.00 pagi. Awal sungguh kami sampai ye. Kami singgah di Amman 7 jam menanti penerbangan seterusnya ke Cairo pada pukul 1.30 petang. Takpala, kita tunggu dengan sabar. Jam 5.00 pagi sambil beratur di immigresen (saja nak keluar sekejap ambil bau-bau udara Airport Amman) kedengaran azan subuh. Alhamdulillah rasa seruan menuju jalan redha Allah. Kami cari bilik solat untuk tunaikan kewajipan ini. Syukur.

Memandangkan masa masih panjang, Abang Om turut masuk RJ CIP Lounge untuk makan-makan dan lepak profesional. Untung dapat tumpang kelayakan sahabat Abang Om, En. Wan ni. Kalau Abang sendiri memang tak layaklah sebab enrich pun blue je.

Prayer Room di Airport Amman Jordan
Sempat mencecahkan dahi bersujud di Airport Amman
Antara makanan yang terbentang di RJ CIP Lounge
Paling suka makanan ni. Biasa sahaja nampak tapi sedap baq hang.

Jam 1.15 petang waktu Jordan Abang Om dan Wan berlepas ke Cairo. Alhamdulillah lancar perjalanannya dan pantas pula urusan di imigresen Caironya. Keluar terminal di pintu 7, kami call Ustaz Mad, orang Pattani yang telah tinggal di Mesir ini selama 23 tahun. Tuddyaaa kata org utara. Tunggu-tunggu dan Ust. Mad sampai tetapi kami perlu berjalan agak jauh ke tempat parking kereta, katanya memang di sini tak boleh drop by ambil penumpang, tuddyaaa kan. Jenuhlah mengheret beg besar. Takpalah, ini cara mereka kita terima sahajalah.
Okay. Dari Airport Cairo kami terus menuju ke Alexandria. Kalau ikut tempoh biasa, 3 jam perjalanan berkereta kami dah boleh sampai. Tetapi, mungkin disebabkan waktu petang dan cuti pula pada 25 Januari sempena Hari Revolusi maka kami menempuh perjalanan yang lama lebih 5 jam. Dengan jalan sesak dan kurang bergerak menambahkan lagi durasi pengembaraan kami. Takpa anggap ini pengalaman dan harus redha baru lah kita enjoy. Kan?. Inilah Egypt. Jalan raya 4 lane dah besar tapi masih tak berupaya menampung kesesakan kenderaan. Almaklumlah 30 juta jiwa menghuni bandaraya ini. Sedikit nota di Cairo ni janganlah kita mengharapkan kemudahan sepanjang jalan sama seperti kita. Tiada r&r ye, stesen minyak pun hampir tiada dan kalau ada bukan ada kemudahan seperti tandas dan lain-lain. Jika ingin qadha hajat memang jenuh dan penuhlah pundi kita ye menunggu tiba tempat yang sesuai. Abang Om sendiri bertahan lebih 3 jam kerana memang tiada tempat berhenti untuk tujuan ini. Haha. Merasa lah kita ye.

Kami singgah untuk makan malam di satu kawasan yang ok. Isi perut yang berkeroncong sebelum tiba di Rumah MARA di Alexandria untuk menginap. Penat weh….. alhamdulillah sampai jua kami menghirup udara Laut Mediteranian di bandar Alex ini.

Yes. Akhirnya. Tiba juga di bumi Mesir ini…..
Dan jalan pun mulai sesak….. kenderaan juga perlahan di sepanjang jalan dari Airport ke Ring Road sebelum masuk ke hiway menuju Alexandria
Makan malam Burger Hardee….. sedap
Singgah berteduh embun malam di Rumah MARA Mesir, Alexandria

Mode….. Malam Bulan Di Pagar Bintang

Tidur nyenyak dalam jelaga mimpi Alexandria.

Januari 25, 2017 – Alexandria/Iskandariah

Usai solat subuh, kami bersiap dan kemaskan beg kerana jam 9.30 pagi janji dijemput oleh Ust. Mad untuk ‘operasi’ sekitar bandar Alexandria, kota yang didalamnya ada 9 juta penduduk. Apapun, perut perlu diisi dulu baru ada tenaga untuk bergelagat traveller di sini. Kami bersarapan di Cafe MARA dengan hidangan Malaysia. Okay sangat. Menurut Ust. Sofi orang kuat MARA Mesir, selain sini, makanan ala melayu boleh dinikmati juga di satu restoran Indonesia dan satu lagi kedai orang Pattani.

Perut kenyang, hati pun girang, tenaga pun automatik recaj maka kami terus melilau di sekitar Alexandria. Di sini kami mulakan dengan melawat muzium marin dengan pelbagai bahan pameran hidupan laut. Di sini paling legend ia satu kerangka ikan paus yang mendarat di pantai sekitar tahun 1936. Besar sungguh hingga manusia pun boleh berlari-lari diruang perutnya. Kemudian kami berlegar dan menikmati asyiknya bayu laut mediteranian dari atas Citadel Salahuddin al Ayubi di Qutbay sebelum meninjau-ninjau sejarah Raja Farouk pemerintah terakhir Mesir sebelum Mesir menjadi negara republik. Mengambil kesempatan disini, kami juga singgah melihat library tertua dan sekitar kampus Universiti Alexandria yang unik itu.

Rakam dari jauh sahaja….. library 7 tingkat paling besar dan paling banyak buku di benua Afrika
Muzium Marin
Rangka Ikan Paus yang sangat besar saiz 17.5 meter yang mendarat dan mati di Pantai Rasyid pada tahun 1936
Citadel Salahuddin al Ayub di Qutbay, Alexandria

Pandangan lensa dari dalam citadel

Dalam citadel….. unik dan kemas binaannya

Dari rerabung citadel itu bertiup nyaman angin laut mediteranian yang hijau membiru

Merakam momen….. indah dan takjub

Istana King Farouk

Salah satu ruang santai dalam kawasan Istana King Farouk

Binaan pondok….. juga dalam kawasan Istana King Farouk

Alexandria…..

Universiti Alexandria

Binaan dan tulisan unik di bangunan Universiti Alexandria

Januari 26, 2017 – Piramid, Giza

Hari ini terlebih teruja kerana dapat ke Giza untuk melihat salah satu keajiban dunia iaitu Piramid. Dari Cairo, lebih kurang 30 minit telah pun sampai ke sini. Maka, terkabul cita-cita dengan izin Allah untuk melihat sendiri binaan takjub dari zaman silam ini. Ya, akhirnya Abang Om bermomen jua di sini.

Akhirnya….. Piramid itu kujelang
Oh….. Ya, itu Piramid
Binaan yang memang takjub
Lihat struktur batu yang besar dan kukuh itu…..
Tiada bait kata untuk menggambarkan…..
Piramid Sphinx….. piramid kepala singa berbadan manusia.

Aduyai….. teruja dan masih teguh dipandangan melihat Piramid-piramid itu. Setelah berpuashati di sini, kami pulang semula ke Bandar Cairo dan menuju ke Dewan Malaysia Abbasiah untuk santapan tengah hari. Okaylah walau di tanah asing, perut Melayu Abang Om tetap membutuh nasi dan hidangan lauk Melayu. Katalah nak kata apa janji kejat perut hati gembira. Sebelum sampai di Malaysian Hall, kami juga sempat singgah di satu masjid yang tertua dan terbesar di benua Afrika iaitu Masjid Amr Ibn al Aas.

Habis lunch kami singgah pula di salah satu masjid yang juga besar sebelum pulang ke pencaus kami untuk istirehat kerana sebelah malamnya ada janji temu acara cruise menyusur Sungai Nil untuk makan malam atas kapal. Wah, tak sabar dan insya Allah pengalaman indah yang pasti terpahat kukuh di benak pemikiran Abang Om.

Masjid Ahmed Ibn Tulun

Sungai Nil

Sebagaimana diaturjanji malam ini kami cruise Sg. Nil sambil makan malam dan menikmati panorama malam Sg. Nil, sungai terpanjang di dunia. Meriah sungguh dengan muzik arab dan irama padang pasir, tarian pusing ala sufi Turki dan jeng jeng jeng seolah satu pakej wajib iaitu tarian gelek. Makanan tidaklah terlalu superb sekadar makanan arab biasa tetapi lebih kepada pengalaman santapan mata yang baru dan mengujakan. Orang kata….. rakamkan momen itu dalam hati untuk kenangan sepanjang zaman.

Dalam Andrea ini kami ber-dinner
Cruise Nile persis begini…..
Tarian Pusing ala Sufi Turki

Januari 27, 2017Sekitar Cairo

Hari ini Jumaat pertama kami di Cairo. Pagi-pagi seusai sarapan di Arma (Malaysian Hall) kami terus ke Citadel Salahuddin al Ayyub Kubu Cairo. Di Citadel ini kami masuk untuk melihat kesan tinggalan sejarah pertahanan zaman tersebut, masjid ala Blue Mosque Turki dan Old Cairo dari atas beranda kubu ini.

Habis meninjau, jam menunjukkan pukul 12 tengah hari. Kami pamit dari situ dan segera ke kawasan Masjid 4 Mazhab untuk solat jumaat. Masjid ini dipanggil 4 mazhab kerana dahulu didalamnya diadakan kelas pengajian semua mazhab ini. Kami tak sempat masuk ke dalam masjid ini tetapi bersolat di masjid sebelah iaitu Masjid Ahmad ar Rifaie.

Citadel Salahuddin Al Ayyub Cairo
Salah satu sudut dalam kawasan kubu
Kelihatan Old Cairo dari beranda kubu
Muzium Military
Masjid Ahmad Ar Rifaie bersebelahan Masjid 4 Mazhab

Sesudah solat jumaat kami meluncur ke Mukattam, satu kawasan bukit dengan angan untuk melihat Cairo dari atas sana. Sampai atas, sayang sekali kami tak dapat ke birai-birai bukit kerana kawasan itu telah dipagar, tapi oklah tak terkilan mana pun. Oh ya, pekan Mukattam atas bukit itu boleh tahan juga banyak bangunan dan ia kelihatan hidup.

Terus, kami berkeputusan untuk turun sahaja dan Ust. Mad mencadangkan supaya kami ke Mall untuk lihat-lihat. Hummm, Mall meriah sahaja dan banyak toko dan kedai-kedai berjenama malah disini sisi berbeza orang Egypt yang mempunyai kelas hidup berbeza, kelihatan moden dan bergaya. Ia logik kerana walau diluar kelihatan ramai yang hidup sukar dan biasa-biasa tetapi kelompok berwang ini juga masih ramai. Satu lagi bila ke Mall, kami notis pekerja-pekerja sekalipun tukang cuci adalah terdiri daripada orang Egypt sendiri bukan Asia Selatan seperti di kebanyakan negara timur tengah. Mungkin ramai yang membutuh kerja walau pun gaji jauh lebih rendah.

Keluar Mall, kami rancang terus pulang dan singgah makan di satu rumah makan khusus hidangan nasi burung merpati. Dengarnya ia menu istimewa dan popular….. kita lihat dan cuba ye.

Hidangan nasi dalam burung merpati

Januari 28, 2017Al Fayoum

Kembara Abang Om ini menjengah ke satu daerah yang jauhnya 200km dari bandar Kaherah. Daerah ini dikenali sebagai Al Fayoum yang bermaksud bandar 1000 hari. Kata asal ialah Al Fu Yau Mum.

1000 hari ini dikaitkan dengan usaha Nabi Yusuf a.s di perkampungan daerah ini untuk membantu memakmurkan kesuburan tanah pertanian di sini. Dikatakan penduduk asal di sini sebelum kehadiran Nabi Yusuf ini tidak tahu memanfaatkan kesuburan dan sumber tanah di sini hingga Nabi a.s ini mengambil masa tinggal di sini selama 1000 hari untuk mengajar pelbagai kaedah yang membantu mereka bertani menyuburkan Al Fayoum ini dan menjana ekonomi termasuk membina kincir air.

Pintu masuk daerah Al Fayoum

Dalam radius daerah ini juga, Abang Om mengambil kesempatan melihat sendiri hamparan alam daripada gersang kepada subur menghijau, perkampungan Nabi Yusuf a.s sendiri, Tasik Qarun, Istana Qarun dan kawasan oasis dikenali sebagai Wadi Ar Rayyan.

Sepanjang jalan ke Al Fayoum ada perkuburan Islam dan Nasrani

Sepanjang jalan ke Al Fayoum yang tandus berpasir

Dari padang pasir tandus pandang bertukar kepada kawasan menghijau subur….. dua sisi pandang berbeza.

Pintu Gerbang yang menandakan bahawa kita telah memasuki kawasan perkampungan Nabi Yusuf a.s

Pokok Zaitun yang belum berbuah di sepanjang jalan

Berlatarbelakangkan kocakan air Tasik Qarun

Lagi suasana pandang sayup Tasik Qarun yang panjangnya 100 km, lebar 5 km dan dalam ditengahnya 10 meter

Istana Qarun….. dikatakan ini bukanlah binaan yang sebenar kerana ia dikatakan dibina oleh orang Romans untuk menyembah matahari.

Dari dalam Istana Qarun

Sepanjang jalan tandus ke Wadi Ar Rayyan

Air terjun ditengah-tengah padang tandus di Wadi Ar Rayyan

Wadi Ar Rayyan….. sungguh air itu satu nikmat

Dari wadi dan air terjun terbentuklah sungai yang mengalir.

Januari 29, 2017Sungai Nil dan Dataran Tahrir (Tahrir Square)

29 Januari hari ini kami tiada pelan khusus untuk kemana. Jadi, ambil kesempatan ini untuk sedikit istirehat. Lepas zohor kami keluar penginapan dan jalan-jalan free and easy konsepnya. Bila redup sedikit kami ronda-ronda sekitar Tahrir Square dan merentas jambatan sambil menikmati panorama Sungai Nil dan aktivitinya.

Tahrir Square
Sekitar Tahrir Square
Kereta kuda sekitar Sg. Nil….. sedia dan setia memberi khidmat
Jagung bakar tepi jalan
Jalan sesak dan zammah (jammed) adalah biasa di sini.
Denyut nadi aktiviti Sungai Nil
Alir tenang Sg. Nil dari atas jambatan
Jambatan kepala singa
Remang senja Sungai Nil berlatarkan Menara Kaherah (Cairo Tower)

Januari 30, 2017Bab al Futuh dan Khan El Khalili

Hari-hari terakhir di Kaherah….. rasanya baru sahaja sampai di bandaraya ini, esok sudah tiba masa berangkat ke Urdhun (Jordan). Hari ini kami melawat ke kampus al-Azhar untuk melihat universiti Islam yang ulung ini dari dekat. Masuk dan ronda-ronda dalam kereta tetapi gambar yang diambil telah dipadamkan oleh Polis Universiti. Takpalah mesti ada hikmahnya dan mereka melakukannya tentu sekali dengan alasan tersendiri dan paling utama mesti atas faktor sekuriti. Sebagai timbal balas kami hanya melihat kampus al-Azhar yang terletak di luar berdekatan dengan Bab al Futuh (Old Cairo) dan Pasar Khan El Khalili. Meriah juga pasar ini dan nampak sedikit klasik dengan deretan bangunan lama.

Kampus Al-Azhar dari luar
Sebahagian Bab al Futuh
Masjid al Akmar
Masjid al Hakim
Souq….. Pasar Khan el Khalili
Mundar Mandir di Khan el Khalili
Lunch terakhir di Cairo….. hidangan Arab
Dinner McD Mesir…..
Roti dijual macam ini saja….. huhu
Zammah….. dari beranda pencaus kami

Januari 31, 2017CairoAmman

Hari ini hari terakhir di Cairo. Jam 3.30 petang akan berlepas ke Amman pula untuk tinjau-tinjau bumi Urdhun….. Pengalaman di Egypt adalah salah satu sisi berbeza dalam setiap trip Abang Om. Mesir sebagai salah satu bumi anbiya’ telah ditebarkan dengan pelbagai tinggalan sejarah silam, kisah perjuangan nabi dan rasul, syiar agama Allah, warisan risalah Islam dan berbagai-bagai sumber pengajaran berguna untuk renungan bersama.

Sedikit Trivia Tentang Mesir…..

  1. Mesir….. nama dunianya juga Egypt. Kenapa Egypt? Dikatakan ia disebut oleh penjajah bagi merujuk kepada Kiptik, golongan Kristian Koptik yang masih wujud di Mesir pada masa kini.
  2. Cairo….. juga sebutan telor oleh orang putih untuk Kaherah….. bandar besar, sesak, zammah, ‘belum kategori bersih’ juga dan ada 30 juta jiwa didalamnya.
  3. Banyak tarikan sejarah silam dan Islam di Mesir tetapi tidak diurus dengan baik.
  4. Jangan banding atau harapkan kemudahan yang sama di sini dengan Malaysia atau negara Arab moden yang lain kerana jalan raya nya walaupun besar tetapi kurang diselenggara, masjid juga ada yang tiada tempat wuduk dan kurang selesa, r&r dan kemudahan tandas hahaha, jangan ditanya, susah dan memang tiada…..
  5. Orang Mesir….. wajah kasar dan bengis. Tetapi mereka juga stylo dan siap. Gedung besar dan berjenama juga bersepah dan sila kunjungi untuk pengalaman.
  6. Makanan….. silakan mencuba yang local dan francais antarabangsa.
  7. Ingin menginap….. banyak hotel, hostel atau boleh sahaja ke Rumah Malaysia. Boleh google……
  8. Wang….. disebabkan matawang Mesir sangat rendah maka ia adalah syurgawi jika ditukar ke RM. RM100=400 Egypt Pound/Genih/L.E.
  9. Lain-lain….. banyak. Jangan naik teksi jika tidak dengan orang dikenali. English….. hampir tidak difahami, Arabic sangat membantu. Dan, tidak perlu menjadi mesra kerana mereka tidak menghargai aspek ini.
  10. Tiada visa diperlukan untuk masuk Mesir.
  11. Okay. Kalau Abang Om ingat Abang Om tulis yang lain-lain.
    Hotel Meramees. Oklah. RM100 semalam
    Wang Mesir…..

    Sekian. Mesir menggamit. Pasti lebih sempurna andai dilengkap dengan kota yang lebih dicakna dan bersih.

    Advertisement

    Tip of Borneo

    Tanah Penghujung Pulau Borneo

    Selesai lawatan di Agropolitan Gana di Kota Marudu, team Abang Om meneruskan perjalanan ke Kudat kerana esok ada lawatan ke Agropolitan Pulau Banggi dengan team NBOS MOA.

    Dalam perjalanan ke Kudat sempat juga kami singgah menjengah ke Tip of Borneo iaitu kawasan daratan paling hujung berbentuk tanduk mengadap Laut China Selatan. Rasa satu perasaan takjub dapat berada di sini. Sila lihat peta Sabah bahagian tanduk itu

    Simpang Mengayau….. tempat terletaknya Tip of Borneo

    Tugu Penanda Tip of Borneo….. yeaa kita dah sampai sini.
    Lihat….. disanalah tanah paling hujung Borneo
    Momen bersama teman
    Bukti bahawa kami sudah sampai disini

    Sekian.

    #lihatalamsambilkerja

    Afnan Kujeep Fernando                                28 Julai 2016                                                  

    Tip of Borneo, Kudat, Sabah

    Hello Banggi…..

    Mentari Di Ufuk Banggi

    Takdirnya sebuah pulau di pesisir samudera China Selatan, sepelaung dari bumi Tagalog di dalam daerah Kudat di bumi Sabah Malaysia. Banggi terhubung dengan kereta laut dapat dijangkau dalam 1 jam ++ perjalanan atas air dari gigi-gigi air terdekat Jeti Kudat.

    Peta Banggi dan Kedudukan Projek Agropolitan KKLW

    Terbesar di Malaysia

    Ternyata ramai yang tidak tahu Banggi ini adalah pulau terbesar di Malaysia diikuti Bruit di Mukah, Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang. Asal-usulnya menarik dan susur galur demografinya juga berkarektor hasil interaksi peribuminya bernama Bonggi. Silakan menggugel untuk info tuntas pulau ini.

    Kehadiran Kali Ini

    Ya. Ini singgah kedua Abang Om di pulau ini dan ramai yang datang sekali hari ini adalah kunjungan pertama walaupun orang Sabah sendiri. Kali ini Team KKLW melawat rasmi Agropolitan Banggi bersama Team NBOS MOA atas tujuan kerjasama strategik inter ministry. Ini satu usaha yang kami ambil demi kebaikan bersama warga pulau ini.

    Jolokan PulauAdakah Masih Sesuai

    Konotasi pulau mungkin satu belenggu yang terkait dengan pulau/dipulaukan, terpinggir dan terpencil. Stigma orang Pulau. Kata Boss Abang Om, Dato’ Jailani Yunus, untuk dinamik Banggi mungkin perlu hidup tanpa pulau didepannya, menjadi Banggi yang akan dikenali sama seperti Labuan, Langkawi dan Penang. Siapa tahu ini satu anjakan yang memberi nilai baik kepada Banggi ini. Ya, Banggi yang masa depannya terus disantuni dan berhembusan  dalam denyut nadi “Panggilan Pulau”.

    Thank You Pulau Banggi

    Ikut saiz pulau ini lebih besar dari Melaka dan merupakan pulau terbesar di Malaysia. Istimewa juga pulau ini. Abang Om sekadar generasi yang (kebrapa suda nda tahu) yang datang sini atas nama projek dari Bangunan Tinggi KKLW. Tengok gambar dari awal hingga sekarang….sudah ada manfaat projek Kerajaan….. ada yang tersurat dan ada juga tersiratnya atas nama kemajuan, perpaduan dan misi keselamatan sempadan. Tidak jauh sepelaung itu tanah Pangako Sayo…..

    Orbias (orang biasa) mahu datang sini ada feri dari Kudat. Perjalanannya satu jam setengah. Abang naik bot agensi 45 minit-sejam sudah jejak disini … laju jugak kan. Alhamdulilah kondisi cuacanya hari ini ok dan ohsem….jalan laut yang tenang lagi takjub…..

    Mahu menginap…ada homestay harganya RM100 semalam. Hotel? Ada tapi belum operasi. Tunggu….katanya tahun ini jangkanya akan dibuka untuk publik.

    Jeti Kudat….. lihat bot saiz along, angah dan ucu
    Meluncur merentas laut lepas
    Percikan ombak yang mampu membasahi
    Permandangan kediaman pesisir mencecah ke gigi-gigi air
    Bot….. wadah pengangkutan utama
    Masjid rona hijau…..
    Mundar mandir suasana jeti….. satu interaksi sosial dan ekonomi
    Ladang getah di sisi kiri jalan
    Denyut nadi ekonomi jeti
    Trak itu adalah permandangan biasa
    Meladeni ekonomi setempat
    Anjung Tinjau Ladang Getah
    Jeti private ke Banggi

    _____________________________

    Info Umum Pulau Banggi dari Wikipedia

    Pulau Banggi merupakan sebuah pulau yang terletak di timur laut KudatSabahMalaysia. Pulau ini berkeluasan kira-kira 440.7 kilometer persegi, merupakan pulau yang terbesar di Malaysia, diikuti dengan Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.

    Pulau Banggi terletak di utara Sabah dan berdekatan dengan Teluk Marudu. Puncak tertinggi bagi pulau ini adalah sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Sibumbung dengan ketinggian 529 meter. Pusat pentadbiran Pulau Banggi ialah pekan Karakit dan pekan ini menempatkan Pejabat Daerah Kecil Banggi, Rest House (Rumah Rehat), Klinik Kesihatan, Balai Polis, jabatan-jabatan kerajaan, SMK Banggi, Pangkalan Polis PGA, dan rumah-rumah para penduduk kampung. Penduduk pekan ini dianggarkan seramai 1000 orang. Penduduk utama Pulau Banggi ialah daripada suku kaum Bajau Ubian dan Dusun Bonggi. Terdapat juga kaum-kaum lain iaitu orang Kagayan, dan Ð…uluk.

    Catatan awal menyebutkan bahawa sewaktu Pelayaran Ferdinand Magellan mengeliling dunia, beliau telah singgah membaiki kapalnya di kawasan Teluk Marudu. Catatan Sepanyol ini menyebutkan sebuah tempat dikenali sebagai CIM BOM BON yang merujuk kepada SIBUMBUNG atau Pulau Banggi pada hari ini. CIM BOm BON adalah sebuah pelabuhan atau kerajaan kecil ketika itu. tinggalan istana lama masih terdapat di satu kawasan di Sibumbung, Pulau Banggi.

    Nama Pulau Banggi menurut legenda setempat berasal dari nama Suku Orang Bajau yang mendominasi kawasan Kepulauan Banggi-Palawan-Sulu suatu masa dahulu. Suku Bajau menamakan Pulau Banggi sebagai Ba Ngie yang bererti tempat orang Bangie. gelaran Suku Bongi atau Banggi berasal dari dua orang suku orang asli dari pulau yang berbeza iaitu dari kelompok Negrito di Malaya dan dari suku orang asli di Palawan. Orang Bangingi telah melepaskan dua orang suku asli yang berbeza tempat asal ini dan akhirnya menjadi asal-usul suku Dusun Bonggi. Nama Banggi atau Bonggi berasal dari kata Bangi atau Bangingi.

    Pulau Balambangan pula berasal dari kata Bahasa Bajau iaitu MA LIMBANGAN yang bererti pasangan atau gandingan yang merujuk kepada gandingan atau pasangan bagi Pulau Banggi.

    Legenda Brunei pula menyebutkan Pulau Banggi sebagai PULAU TIANGGI dan menjadi salah satu wilayah jajahan Brunei ketika era Sultan Naragam Brunei.

    Dalam tahun 2003 anggaran penduduknya ialah 20,000. Pulau Sebogoh yang merupakan sebahagian pulau-pulau kecil Pulau Banggi merupakan pulau yang paling hampir dengan sempadan Malaysia-Filipina.

    Sebahagian mereka menjadi nelayan dan membina rumah air iaitu rumah bertiang kayu yang dibina di pantai landai lagi cetek.

    Cara pergi ke sana: Anda boleh menyewa bot laju atau bot pancung dari Teluk Marudu atau dari Kudat dengan menaiki feri selama sejam tiga puluh minit.

    Sekian.

    #lihatalamsambilkerja


    Afnan
    Kujeep Fernando                                  5 Februari 2016

    Banggi Island, Sabah NDBB

    Good Morning Saigon

    Good Morning Saigon, Selamat Pagi Ho Chi Minh City

    Dicelah-celah kesibukan Kota Saigon ada lelaki biasa dengan kaos HRC Kota Budapest, Hungary. Itulah Abang Om yang telah beberapa kali berkunjung ke Saigon.

    Pejabat Pos Lama Saigon – HCMC

    Untuk makluman, Saigon ni nama lama bagi Ho Chi Minh City. Tetapi ramai yang tak tahu bahawa Saigon itu sendiri masih wujud sebagai satu tempat dalam Ho Chi Minh City itu sendiri, bermakna ia masih kekal menjadi sebahagian daripada Ho Chi Minh City….. itu kata seorang tour guide warga Vietnam.

    Terbang Ke HCMC

    Perjalanan udara sektor KUL-SGN mengambil masa 2 jam. Rupanya ramai sekali umat melayu berpusu ke sini dengan tujuan tersendiri. Ada yang sightseeing, ada yang transit, ada yang aim-nya shopping dan mungkin juga sekadar untuk mengopi.

    Makanan halal

    Untuk menjamah makanan Halal di Saigon bukanlah satu masalah. Hidangan dan restoran halal tidaklah sukar dicari malah tumbuhnya bagai cendawan selepas hujan hingga wujud jolokan nama Malaysian Street kerana ramai rakyat Malaysia berkunjung dan ada juga restoran halal di situ pemiliknya orang Malaysia.

    Mata Wang
    Bagaimana pula dengan mata wang? Dong adalah matawang Vietnam. Tidaklah terlalu ketara bila ditukar di pengurup wang. Sifir mudah dicongak-congak, kirakan saja 50K Dong, nilainya sama 10 Ringgit Malaysia.

    Mata Wang Dong Vietnam

    Apa yang best tentang Saigon/HCMC….. 

    Apa yang boleh kita buat di Ho Chi Minh City?….. Antara perkara yang boleh dipertimbangkan untuk dibuat disini ialah :

    I. Jalan-jalan sambil minum kopi Vietnam

    II. Makan murah dan mesra halal

    III. Pencausnya banyak yang murah dan selesa

    IV. Wifi merata-rata dan mesra dihubung

    V. Mata wang RM masih selesa dan berbaloi….. kira oklah

    VI. Membeli-belah…. ya, terserah dan pasti mampu milik.

    VII. Buat suit ? Ia juga satu peluang yang tidak wajar dilepaskan kerana satu  suit lengkap serendah RM250 juga boleh diperolehi.

    Lagi, jom kita tinjau warna-warna bumi Indo China ini dari lensa kamera fon…..

    Cathedral Tinggalan Perancis
    Menyusur Sungai Mekong
    Menaiki Perahu di Mekong
    Melintasi kampung tradisi dengan kuda
    Menikmati HCMC
    Muzium Perang Vietnam
    Chu Chi Tunnel

    Sekian. Saigon itu dekat sahaja, bila-bila masa boleh ulang kunjung.

    Saigon : 29.91.10.2017

    Kunjungan kali ini adalah kunjungan tema jalan-jalan persahabatan dengan ofismate… Hj. Hirman. Emmm… kali ini walaupun telah beberapa datang ke sini tetapi pengalamannya ada bezanya. Saigon ini perlukan masa untuk diexplore… sekadar ke Benh Thanh kita hanya tahu hiruk pikuk pasar tumpuan rakyat Malaysia sahaja, bukan diluarnya. Hasil eksplorasi membeli dengan Hirman dan wife dia ternyata ia satu alam syurga shopping untuk hampir semua kaum wanita. Untuk kaum lelaki oklah sekadar mendapat beberapa keperluan sudah cukup termasuk pakaian. Cuma peluang untuk ditipu di pasar Benh Thanh tetap ada. Kita maklum… bukan ori pun kebanyakan barang di situ tetapi tanpa ditawar kita akan membayarnya dalam kadar yang boleh mengundang traumatik.

    Contohnya membeli kasut… tengok sekali memang teruja. Jika tidak diteliti mata kita adakalanya tersilap menengok dan akibatnya kita membayar sepasang kasut vietnam pada harga premium. huhu. Maka berhati-hatilah antara original atau orichina semasa kita membeli-belah di sini.

    kami di HRC HCMC
    Pejabat Pos Lama Saigon

    Menjengah Kanvas Dunia

    Ku Berjalan, Berkelana Di Pentas Dunia

    Pagi ini sengaja Abang Om belek-belek laptop dan tengok-tengok gambar triptrip seberang laut Abang Om. Rasa seronok untuk mengimbau semula jejak-jejak saya di kanvas dunia. Alhamdulillah, Allah bentangkan jalan dan rezeki untuk Abang Om berkelana melihat dunia. Sungguh ia satu ruang dan pengalaman berharga yang mengubah cara Abang Om melihat dunia. Sekadar meninta semula negara-negara yang Abang pernah jengah. Sejauh ini saya telah sampai dan pernah menghirup udara Arab Saudi, Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar, RR China, Taiwan, Hong Kong, Macau, Jepun, Korea, New Zealand, Qatar, Oman, UAE – Dubai, Turki, UK, Switzerland, France, India, Nepal dan bakal dikunjung, Mesir dan Jordan; serta lain-lain leluhur negara bangsa.

    Syukur, triptrip ini menyenangkan Abang dan membuka mata Abang sesuai ungkapan pepatah Melayu, “jauh perjalanan, luas pemandangan“. Sejauh ini juga, suka untuk Abang berkongsi cerita, sekadar pengalaman untuk panduan dan idea bersama dari sudut pandang Abang Om sendiri. Melihat dunia dan negara yang diluar budaya dan leluhur kita juga membuat kita semakin mengenal diri, meraikan perbezaan sekaligus menilai banyak perspektif kehidupan, serta paling penting mencetus kesyukuran tentang segenap anugerah kurniaan Tuhan Yang Maha Esa.

    Menjengah kanvas dunia yang penuh warna-warni.

    Abang Om titipkan disini sedikit tips yang mungkin bermanfaat untuk bakal seorang penjengah dunia. Kita tidak perlukan pemula yang besar untuk satu perayauan antarabangsa bahkan hanya hasrat dan kemahuan, tekad dan usaha, perencanaan dan sokongan ekonomi, fizikal dan material. Jom! Kita semak…..

    1. Pasport dan Dokumen-dokumen

    Pasport – permit penting yang membolehkan pengembara melepasi batas atau sempadan negara-negara. Sila anggapkan ia sebagai nyawa dan penentu kelancaran bergerak sepanjang melakukan perjalanan antarabangsa. Jangka masa paling minimum satu-satu pasport yang sah untuk dibawa berjalan ialah 6 bulan validiti. Sehubungan itu, pasport perlu dijaga dengan rapi, selamat dan berkeadaan baik.

    Sebagai langkah keselamatan, satu salinan pasport perlu disimpan untuk bersedia kalau-kalau diduga dengan musibah, maka kita ada salinannya. Ia boleh difotostat atau disnapkan sahaja dan disimpan dalam galeri foto telefon, emel dan simpanan kawan/orang yang dipercayai.

    Pasport – surat terpenting untuk travel

    Kad Pengenalan – Ini satu lagi dokumen pengenalan diri yang wajib disimpan rapi. Jika berlaku kehilangan, kad pengenalan juga boleh menjadi satu bukti kita rakyat Malaysia untuk urusan di kedutaan Malaysia di luar negara sekaligus membantu melancarkan proses-proses berkaitan.

    Pas Kerja – Mesti ada yang tanya kenapa dan apa perlu dibawa kad/pas kerja semasa travel ke luar negara. Abang nyatakan ini atas pengalaman sendiri semasa bersoal jawab dengan Imigresen New Zealand apabila ditahan selama 3 jam. Kebetulan Abang ke sana 2 minggu selepas sekumpulan rakyat Malaysia ditahan kerana cubaan menyeludup dadah dalam kasut. Jenuh bersoal jawab hingga dirujuk kepada Jabatan Buruh Airport. Salah satu yang ditanya apa pekerjaan, lantas Abang jawab…. government officer…..bukti? Mujurlah Abang ada bawa pas kerja dan ini membantu proses soal jawab ini. Mungkin tidak semua memerlukan ini, tapi apalah salahnya pas ini dibawa bersama semasa travel lagipun ia mudah dan ringan bukan?

    Kad Kredit/ATM – Ternyata 2 kad ini penting untuk tidak tertinggal kerana ia adalah talian hayat yang menyokong segala urusan kita sepanjang travel. Walaubagaimanapun, sila bawa kad ini sekadar keperluan dan tidak membawa semua kad yang kita ada. Dan, jangan lupa untuk memaklumkan kepada bank supaya membuka talian akaun kita sepanjang kita di luar negara. Ini adalah satu proses yang nampak mudah tetapi boleh menyukarkan kita jika tiada langkah berkaitan diambil sewajarnya.

    2. Pilihan dan Kemana

    Pilihan destinasi amat penting dalam memulakan hasrat untuk melawat, mengembara atau berjalan-jalan ke luar negara. Jarak dan pilihan negara akan menentukan kos yang bakal ditanggung kerana setiap negara berbeza belanja dan ongkosnya.

    Selain itu, beberapa faktor lain juga harus dipertimbangkan sebelum memilih untuk ke satu-satu negara. Antaranya ialah :

    Kadar Tukaran Asing – perlu lihat kadar supaya kita boleh mengagak kos yang bakal ditanggung dan jumlah wang yang perlu dibawa yang dibandingkan dengan kadar tukaran wang satu-satu negara.

    Cuaca dan Musim – perlu diberi perhatian kerana faktor cuaca juga boleh menentukan kelancaran dan keseronokan perjalanan kita. Jadi, pastikan kita tahu keadaan yang cuaca dan musim sama sejuk dan dingin, panas terik, hujan monsun atau just nice untuk kita menikmati rancangan percutian dan travel kita. Musim dan cuaca juga akan menentukan besar kecil bagasi kita, keperluan makanan dan perubatan peribadi serta jenis pakaian yang bersesuaian. Jika memilih musim sejuk dan salju, pakaian tebal dan lebih banyak tentulah sesuatu yang wajib dan tidak boleh dikompromi. Oleh itu, faktor-faktor ini ternyata memerlukan perkiraan kewangan lebih terperinci untuk mengongkosi perjalanan dan aktiviti-aktiviti sepanjang melakukan pengembaraan ke luar negara.

    Musim Sejuk – pakaiannya perlu sesuai

    3. Asas Keperluan Pra Perjalanan

    Sebenarnya untuk travel bukanlah sesuatu yang serba mudah. Ada sesetengahnya memerlukan sedikit study supaya perjalanan lebih lancar, terancang dan meyakinkan. Sebagai usaha menjangka kemungkinan, ada baiknya kita simpan nombor perhubungan, emel, lokasi dan alamat Kedutaan/Konsulat atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara yang kita ingin berkunjung. Bukan susah pun, boleh simpan dalam fon atau apa saja kaedah yang kira selesa termasuk secara cetakan hard copy info-info berguna berkaitan. Tidak salah bersedia awal-awal mana tahu masa ia diperlukan kita tidak perlu terkial-kial mengesan signal wifi di tempat orang.
    Visa – perlu difahami untuk memasuki negara orang pasti ada peraturan dan prosedurnya selain urusan imigresen dan kastam. Ada negara boleh kita masuk tanpa memerlukan visa. Oleh itu, harus disemak sama ada kita perlu visa atau tidak bergantung kepada syarat kemasukan ke satu-satu negara. Jika perlu visa, kita juga harus memastikan sama ada visa tersebut boleh dibuat di kedutaan/perwakilan mereka di sini atau boleh juga secara VOAVisa on Arrival. Ini boleh diketahui melalui portal kedutaan mereka atau boleh berhubung terus melalui telefon kerana ada juga maklumat di web tidak dikemaskini. 

    Contoh Visa

    Itinerary dan Tiket Penerbangan – maklumat ini perlu disemak supaya kita alert dengan masa dan tatacara checkin penerbangan kerana ia mungkin ada perubahan pada saat akhir. Mungkin sehari dua sebelum berlepas ada baiknya kita menyemak maklumat ini disamping boleh mendaftar masuk secara online. Ia pasti menjimatkan masa dan mengelakkan kekalutan. Jika perlu transit, ada juga keperluan untuk kita memastikan kita memahami maklumat urusan dokumen, kaunter pertukaran connecting flight dan hal-hal security check, imigresen dan kastam.

    Itinerary – perlu disemak kalau-kalau ada perubahan last minute

    Makanan dan Keperluan Peribadi

    Sebenarnya terdapat keperluan jika ke luar negara untuk membawa sedikit bekalan makanan dan minuman sekadar perlu. Manalah tahu jika rasa lapar dan kepingin, sekurang-kurangnya kita ada kudapan untuk makan dan kunyah-kunyah tanpa perlu menggunakan wang belanja di luar negara.

    Selain itu, keperluan diri asas atau toiletris peribadi juga wajib dibawa dengan kadar yang cukup supaya kita mudah untuk mengurus diri. Bukan susah pun, angkutkan sahaja apa yang ada dan bawa sekali dalam bagasi kita. 

    Satu lagi perkara yang tidak kurang penting untuk dibawa bersama ialah plag elektrik kerana terminal suis elektrik adalah berbeza antara negara. Maklumat tentang ini boleh disemak dalam laman web atau portal perlancongan negara terbabit.

    4. Keperluan Khusus Muslim 

    Menjadi seorang Muslim tentunya menyedarkan kita mengenai keperluan khusus kita di tempat orang. Jika ke negara Islam atau mesra pelancong Muslim, keperluan ini pastinya bukan menjadi hal yang besar tetapi jika kita ke negara bukan Islam perkara ini harus menjadi sebahagian pertimbangan kita seperti isu halal haram, makanan halal, solat dan ibadat, kiblat dan sebagainya yang berkaitan. Oleh itu, persediaan perlu dibuat seperti membawa bekal makanan sendiri, mengenal pasti restoran halal, membawa kompas kiblat jika telefon tiada aplikasi kiblat, menyemak lokasi masjid jika ada serta mendapatkan lebih awal waktu solat daripada JAKIM atau dengan kemudahan teknologi sekarang ia boleh diakses dalam banyak web yang menyediakan maklumat-maklumat ini. 

    Grand Mosque di Taiwan – contoh masjid di negara bukan Islam

    5. Pengangkutan

    Pengangkutan semasa travel amat penting untuk memastikan pergerakan kita lancar dan selesa. Oleh itu, kita perlu juga mengambil tahu kaedah terbaik pengangkutan mengikut kemudahan yang ada di satu-satu negara. Perlu diingat sesetengah negara sudah terlalu moden sistemnya dan boleh jadi tidak di negara yang lain. Pilihan pengangkutan ini akan mempengaruhi kos yang perlu kita tanggung semasa melawat/mengembara di negara asing.

    Mungkin ini juga pengangkutan yang sesuai
    Flight – pilihan mode pengangkutan
    Tuk Tuk di Bangkok

    6. Berteman atau Solo

    Berteman atau solo semasa mengembara atau melancong sebenarnya pilihan individu bergantung kepada keadaan dan keselesaan masing-masing. Walaubagaimanapun bagi Abang, melancong dan mengembara bersama teman mungkin satu pilihan yang baik kerana :

    Sekurang-kurangnya kita ada teman berbicara dan berkongsi suka duka berjalan…..

    Jika ada kecemasan ada juga teman bersama…..

    Mana tahu kita sakit, ada teman untuk menguruskannya…..

    Mana tahu kita berdepan kesusahan, ada juga teman membantu…..

    Inilah kelebihan berjalan bersama teman yang pada hemat Abang satu kebaikan yang tidak sedikit.

    7. Cakna Adat dan Budaya

    Walau kemana kita berjalan, menghormati adat dan budaya setempat adalah satu prioriti yang tiada komprominya. Sebagaimana kita ingin dihormati, begitu juga orang lain yang tentunya menghargai mereka yang cakna adat dan budaya mereka. Jangan merasakan kita hebat di tempat orang kerana kita berpijak di tanah mereka, mengalah tidak bermakna takut dan kalah malah satu kemuliaan pada sesiapa saja. Selain itu, berlapang dadalah dan terimalah negara mereka seadanya kerana setiap negara ada kebaikan mereka sendiri yang mungkin boleh kita ambil untuk kebaikan kita juga.

    Ada yang patut dan ada yang tidak patut kita buat di negara orang
    Budaya setempat yang wajar dihormati

    8. Momento dan Cenderamata

    Bila ke negara orang, rakamkanlah kenangan yang terbaik sepanjang kita disana. Abadikan momento yang boleh kita simpan dan kongsi untuk kebaikan. Membeli cenderamata pula satu yang nice untuk dibuat  bukan saja untuk sendiri tetapi juga orang yang ingin kita beri. Tetapi, ingin juga dipesan supaya kita tidak terbeban untuk ini sehingga terlalu memikir untuk memberi tanda ingatan pada semua orang. Utamakan diri sendiri dan keluarga serta sahabat rapat, manakala yang lain terserah pada hemat dan kemampuan kewangan kita.

    Membeli cenderamata – jangankan membeban

    9. Fulus. Wang. Duit
    Sudahpun namanya berjalan, fulus dan wang semestinyalah telah kita bawa bersama. Kita ini berjalan di tempat orang dan harus sentiasa berwaspada demi keselamatan. Tidak salah untuk kita mengambil ikhtiar menyimpan wang yang dibawa bukan pada satu tempat contohnya dalam wallet dan beg tangan; sebaliknya boleh juga disimpan dibeberapa tempat seperti dalam poket, beg sandang waima dalam stoking supaya jika berlaku kehilangan/penyeluk saku sekurang-kurangnya kita tidak hilang semua wang yang dibawa yang tentunya menyukarkan urusan kita.

    10. Kutub Khanah Alam Maya

    Kita bertuah kerana kita mengembara dan melancong pada zaman teknologi yang sarat maklumat. Oleh itu, sebelum melakukan perjalanan ke luar negara, ada baiknya kita menjenguk-jenguk maklumat di kutub khanah alam maya/internet menelusuri blog-blog/laman web yang berkongsi pengalaman dan cerita atau pelbagai akses lain di alam maya. Ini cukup berguna untuk membantu kita dalam merencana dan menjangka apa yang terbaik untuk perjalanan kita di tempat orang.

    11. Kesihatan dan Persediaan Diri

    Antara aspek penting yang perlu diberi perhatian juga ialah kesihatan dan persediaan diri. Pastikan kita kekal sihat dan cergas stamina untuk menjamin kelancaran pergerakan kita. Dapatkan ubat dan silalah ke farmasi untuk membeli ubat-ubat asas sebagai bekalan berjalan di tempat orang kerana lebih mudah mempunyai ubat yang dibeli di negara sendiri dengan piawaian yang dijamin di negara sendiri berbanding di negara orang. Panadol, minyak angin, minyak urut, ubat sakit perut, ubat pening dan gatal, juga plaster adalah ubat dan keperluan yang sesuai dibawa siap-siap dalam bagasi kita.

    Lagi? Ramai yang tak ambil berat tentang persediaan dan kesiapsiagaan diri sebelum travel. Jika boleh elakkan melakukan aktiviti lasak kerana mana tahu jika kurang bernasib baik kita boleh cedera atau tergeliat….. ini tentunya mempengaruhi mood untuk kita berangkat pergi.

    12. Beg dan Bagasi

    Bila kita selalu travel oversea, ada baiknya juga kita peka dengan beg dan bagasi kita. Pilihlah beg yang kukuh dan berkunci serta elakkan beg atau bagasi yang berpoket kerana ia perlu diurus dengan lebih teliti. Bukan apa, perjalanan luar negara mungkin terdekat kepada niat jahat orang atau sindiket. Oleh itu, beg dan bagasi yang selamat akan memberikan lebih keyakinan kepada kita. Dan, jika perlu janganlah berkira untuk wrap atau packing beg di airport untuk keselamatan berganda.

    13. Mesra dan Peramah

    Sekadar tips, jika kita baru sampai di satu-satu negara asing, adalah tidak perlu untuk berlaku mesra dan peramah. Cukuplah kita respond kepada yang diperlukan atau yang ditanyakan sahaja sama ada di imigresen, kastam atau berdepan dengan orang asing. Silap peramah mungkin mendedahkan kita kepada lebih banyak soalan dan persoalan.

    Satu lagi, di tempat orang, janganlah pula kita ‘terlalu baik’ terutama dengan orang yang baru dikenali. Mempunyai sedikit syak dan prasangka adalah perlu untuk kebaikan diri. Dan beringatlah untuk tidak membawa atau memegang bagasi orang meski kita diminta seseorang walau sekadar memegang beg untuk mereka ke tandas atau mereka ingin menumpang check in bagasi atas alasan tidak cukup kilogram. Ingat! Kita tidak kenal dan tak tahu apa bawaan mereka, mana tahu dadah atau barang terlarang dan entah-entah sindiket atau penjenayah. Biarlah kita dikata sombong daripada terjerat dengan helah mereka yang berniat jahat.

    14. Lainlain 

    Untuk hal-hal lain ini, mungkin juga boleh kita berikan perhatian pada aspek-aspek yang mungkin nampak kecil tetapi penting untuk difikirkan. Kita mungkin perlu mengambil kira aspek kecekapan di lapangan terbang di sesebuah negara, keadaan trafik jalan, sistem pengangkutan dan sistem nilai dalam pengurusan setempat. Contohnya, mungkin di sebuah negara itu sistem pemeriksaan sekuritinya lambat atau jalan yang selalu sesak boleh menyebabkan kelewatan atau kita terlepas pesawat. Dengan mengambilkira aspek ini, kedatangan awal ke lapangan terbang mungkin satu kemestian dan tindakan paling bijak bagi mengelakkan kita berdepan suatu kesulitan.

    Beratur panjang antara pemandangan yang ada di lapangan terbang

    Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ini adalah pengalaman peribadi Abang Om dan ia mungkin berbeza dengan orang lain tetapi Abang Om percaya, insya Allah ia pasti ada kebaikannya. Mudah-mudahan.