Megah Mega Langit Kathmandu
Abang Om pernah berimaginasi untuk ke sini. Ya, mimpi-mimpi Kathmandu, menjejak bumi Nepal. Akhirnya apa yang difikirkan ini insya Allah akan menjadi nyata. Abang Om akan terbang kesana pada 30hb Disember 2016 hingga tanggal 3 Januari 2017.
Disember 28, 2016
Kedutaan Nepal KL
Untuk ke Nepal, visa perlu diperoleh terlebih dahulu. Visa ini boleh dibuat di Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur di Bangunan Wisma Paradise Jalan Ampang. Visa ini tersedia dalam 2 hari bekerja iaitu buat hari ini dapat esok jam 2.00 hingga 4.00 petang. Abang Om siap isi borang terlebih dahulu yang boleh diunduh (download) daripada web Nepal Embassy KL, isi lengkap borang, bawa satu keping gambar saiz 2×2 latar belakang putih dengan satu salinan muka depan pasport. Jangan lupa sertakan bayaran RM95 untuk tempoh kemasukan 15 hari. Jika lebih bayaran juga lebih. Sila lungsuri laman web Nepal Embassy Malaysia di www.nepalembassy.com.my
Satu lagi pilihan ialah VOA–Visa On Arrival yang boleh dibuat di Lapangan Terbang Kathmandu sebaik ketibaan. Tetapi ramai yang suggest supaya visa dibuat siap-siap di KL kerana ragam VOA adakalanya kurang selesa disamping mungkin mengambil masa lama akibat beratur panjang.
Satu lagi alternatif, pelawat juga boleh memohon terlebih dahulu secara online di http://www.online.nepalimmigration.gov.np/tourist–visa supaya urusan semasa VOA lebih lancar. Jangan lupa cetak borang permohonan online ini dan bawa bersama dokumen yang dikehendaki semasa ke kaunter VOA di Airport Kathmandu.

Disember 29, 2016
Semalam dengan gigih menempuh kesibukan KL untuk Visa Nepal. Hari ini alhamdulillah, jam 2.05 petang visa telahpun siap. Rasa lancar sahaja urusan ini. Sekurang-kurangnya tiadalah persepsi negatif dengan urusan di Embassy Nepal ini. Jadi, esok bolehlah dengan senang hati dan tenang berangkat pergi ke bumi Nepal. Semoga perjalanan pergi dan kembali nanti dipermudahkan oleh Allah serta dijauhkan daripada segala yang tidak baik. Didoakan semoga perjalanan, pergerakan, penerbangan dan kesihatan Abang Om sepanjang berkelana ini juga baik-baik serta dalam perlindungan rahmat Allah s.w.t. Aamiin.

Disember 30, 2016 – KL-Kathmandu
Hari ini Abang Om berangkat ke Kathmandu dengan pesawat MAS jam 8.55 pagi. Penerbangan KUL-KTM ini memakan masa selama 4 jam 30 minit. Huhu. Rasa teruja ada, rasa tak tahu nak kata apa pun ada tetapi yang nyata ia pasti satu pengalaman unik di negara pemilik kemuncak tertinggi Gunung Everest ini.
Untuk ke sini Abang Om hanya bawa duit tangan RM600. Pertukaran wangnya lebih kurang RM4 bagi setiap not 100 Nepalese Rupee. Jumlah ni kira cukuplah untuk jalan-jalan, makan-makan dan beli cenderamata. Tapi jika berhasrat untuk membeli batu permata, jangan lupa bawa ribu-ribu ye. Katanya permata disini berkualiti dan cantik.

Abang Om tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan Kathmandu dengan permulaan yang baik. Waktu di Nepal adalah lewat 2 jam 30 minit. Melalui proses imigresen dan kastam yang lancar memberikan satu persepsi positif tentang Nepal….. akhirnya sampai juga di sini dengan izin Allah. Keadaan airport nya biasa sahaja dengan kemudahan yang terhad tapi kira ok dengan keluasannya. Abang lihat dan perhati sekeliling, sambil menunggu bagasi yang sedikit lambat, ye kipas siling masih lagi digunakan dan kedainya pula agak klasik style lama.


Selesai bagasi Abang meluncur keluar dan disapa udara dingin 13°c….. huhu, nyaman tapi gigil juga dibuatnya. Yes, inikan Nepal, negara Himalaya dengan 4 musim sudah tentunya sejuk pada musimnya.
Dari Airport Abang dan 2 teman dijemput sahabat yang bertugas di Kedutaan Malaysia Kathmandu dan kami menumpang teduh di kediamannya. Yes, agam juga rumahnya.
Sebelum langsung ke rumahnya, kami dibawa jalan-jalan sekilas pandang melihat bandar Kathmandu….. oh! Ok juga bandar dia, moden juga orang dia, standard juga premis kedai dia, siap ada KFC Halal lagi…. yummy. Jam ditangan 5.30 petang, alam mengelam tanda hari beransur malam bak bulan dipagar bintang….. aderrr!
Kemudian, dalam dingin udara Kathmandu Abang larut lelap dalam gelap malam yang panjang. Zzzz…..




Disember 31, 2016 – Thamel, Kathmandu
Thamel Street – Pagi yang indah pada hari terakhir 2016 menyambut hari kami di sini. Sejuk tetap sejuk hingga ingin bersiram pagi pun perlu dipaksa-paksa. Hari ini, usai sarapan Abang mudik ke bandar menuju Thamel Street yang punya gedung niaga yang banyak, klasik tetapi bersatu dalam nilai estetika tata gaya sebuah bandar Nepali.
Di sini, mood nya hidup dengan alir masyarakat penuh warna, mundar mandir muda mudi dan tugu-tugu keagamaan Hindu-Buddha yang menjadi identiti orang Nepal. Dimana-mana sahaja, dijalan, didinding bangunan, dipokok, begitu banyak kesan aktiviti agama mereka.
Satu yang Abang notis, sekalipun di sini agak berdebu, nilai bersih tetap ada malah tiada aroma yang tidak menyenangkan (ternyata telahan ini salah). Mereka juga sebenarnya peka dengan gaya moden dan tekun bekerja yang menunjukkan mereka berusaha untuk mengemudi hidup sebaiknya meski ada sebilangannya berhijrah ke luar negara untuk pekerjaan ke negeri Arab, Thailand dan Malaysia. Dengarnya mereka yang bekerja di luar ini akan pulang membawa wang, membeli tanah dan membina kediaman sebelum keluar semula mencari rezeki di negara asing. Positif kan?





Februari 1, 2017 – Thamel, Kathmandu
Hari ini kami ulang kunjung ke Thamel Street kerana banyak lagi yang boleh diteroka atau untuk membeli barang-barang kehendak peribadi.

Februari 2, 2017 – Bhaktapur dan Durbar Square
Hari kedua bulan februari tahun baru 2017 Abang Om dan sahabat mengambil peluang untuk mudik ke Bhaktapur bagi melihat sendiri tapak warisan UNESCO di situ. Pertama sekali sampai memang terserlah keunikan dan keaslian tempat ini dan sesuailah ia diabadikan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO.
Februari 3, 2017
Hari terakhir di Kathmandu. Bangun pagi, gosok gigi, mandi dan minum pagi, kami dah ready untuk terus ke airport untuk pulang ke tanah air.